PADA 28 Oktober lalu, ketika menyantap sarapan minda pada pagi hari dengan membaca beberapa juadah akhbar termasuk al-Qabas dari Kuwait, penulis terserempak dengan satu laporan yang membuatkan penulis kebingungan. Dalam akhbar yang pernah dilanggan keluarga penulis selama 13 tahun ketika tinggal di Kuwait itu melaporkan "Al-Azhar menyokong dua fatwa Arab Saudi dan Turki yang membenarkan isteri memukul balik suaminya untuk membela diri." Yang jelas berita ini mengatakan 'isteri boleh memukul suami' dan secara global ini bermakna suami isteri boleh saling pukul memukul?

Fatwa membenarkan isteri memukul balik suami dalam keadaan membela diri apabila berlaku keganasan rumah tangga itu dikeluarkan oleh ulama dari dua buah negara yang saling bertolak belakang polisinya terhadap agama Islam. Yang satunya sangat sekular sehingga hak perempuan menggunakan tudung dinafikan sama sekali kerana dikatakan bercanggah dengan dasar negaranya dan yang satunya lagi sangat konservatif sehingga perempuan semuanya mesti ditutup sekujur tubuh badannya kecuali mata/muka ketika mereka berada di luar rumah.

Dasar kedua-dua negara jelas bercanggah tetapi dalam isu ini pandangan mereka boleh bersatu kerana ingin membela hak kaum wanita dalam keganasan rumah tangga. Fatwa Arab Saudi dikeluarkan oleh anggota Majlis Syura (Permesyuaratan) Arab Saudi, al-Syaikh Abdul Muhsin al-'Abikan dan fatwa Turki dikeluarkan oleh pemimpin Islam Turki yang tinggal di Amerika Syarikat, Fathullah Ghulan manakala sokongan al-Azhar disuarakan oleh al-Syaikh Abdul Hamid al-'Atrasy, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa di Universiti al-Azhar.

Nampaknya, sebelum fatwa dikeluarkan sudah banyak berlaku isteri memukul suami dalam drama ditayangkan media massa di merata tempat. Jika sebelum itu, isteri digambarkan makhluk lemah yang tidak boleh berbuat apa-apa dalam keganasan rumah tangga kecuali menangis dan merayu agar jangan dipukul tapi dengan fatwa berkenaan isteri mendapatkan 'lesen' untuk boleh memukul balik suaminya.

Adakah sesuai fatwa seperti ini? Bukankah suami dilebihkan oleh Allah dengan dua kelebihan ke atas isteri? (Surah al-Nisa: 34) Bukankah kewajipan suami mendidik isteri dan kewajipan isteri taatkan suami? Jika fatwa seperti ini diterapkan, di manakah ajaran sabar dalam Islam? Jika fatwa seperti ini disosialisasikan, nanti akan juga keluar fatwa anak boleh pukul orang tua?

Fatwa sememangnya bertujuan untuk menjawab kemusykilan yang berlaku dalam masyarakat. Dalam al-Quran, ketika sang raja dalam kemusykilan tafsiran mimpi dia bertitah seperti dikisahkan al-Quran maksudnya: "Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkan kepadaku mengenai mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai mentafsirkan mimpi ini." (Surah Yusuf: 43)
Begitu juga ketika Ratu Balqis menghadapi kemusykilan yang disebabkan surat Nabi Sulaiman AS, beliau juga bertitah kepada ketua kaum seperti diberitakan al-Quran maksudnya: "Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya. " (Surah al-Naml: 32)

Junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW pun dimohonkan fatwanya oleh sahabat seperti dicatat al-Quran maksudnya: "Mereka (orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad, mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah itu." (Surah al-Nisa: 176)

Jadi fatwa bertujuan untuk menjelaskan perkara yang memusykilkan khalayak demi mendapatkan hukum bersesuaian dengan al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, fatwa mestilah sesuai dengan semangat Syariah atau roh al-syari'ah yang tidak membebankan umat.

Fatwa yang dikeluarkan mestilah selari dengan semangat syariah yang mana syariah bererti "hukum-hukum yang telah diperundangkan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba- Nya melalui Rasulullah SAW untuk dipatuhi dan dilaksanakan dengan disertakan iman. Hukum-hukum ini sama ada berhubung dengan perbuatan, kepercayaan atau akhlak." (Dr Muhammad Yusuf Musa, al-Madkhlal Li Dirasah al-Fiqh al-Islami, hal. 9)
Hamba yang bergelar manusia di atas sudah dijadikan oleh Allah sebagai makhluk yang terbaik, dikurniakan akal fikiran agar mempunyai daya berfikir, dan melalui daya berfikir ini manusia menghasilkan ciptaan, mencapai kemajuan sama ada dari segi kemajuan material atau rohani. Tetapi akal dan fikiran manusia perlu kepada bimbingan wahyu supaya ia dapat sampai kepada kebenaran dan tidak liar sehingga mengheretnya kepada kekufuran dan lepas bebas tanpa ikatan dan panduan. Ikatan dan panduan daripada wahyu inilah yang dikatakan syariah.

Walaupun, Islam menghormati akal fikiran dan menggalakkan manusia agar berfikir, malah berfikir itu sendiri adalah ibadat dan tuntutan syarak, namun akal fikiran ini hendaklah digunakan untuk kebaikan dan kemakmuran, bagi menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman, untuk ketaatan dan bukan kemaksiatan, dan untuk ketauhidan dan bukan kekufuran dan kesyirikan, yang demikian ia perlu kepada bimbingan wahyu dan ikatan syariah. (Mahmud Saedon, Jejak-Jejak…, 33)

Selepas rasul kembali ke rahmatullah, siapakah yang berhak membimbing umat agar selalu berjalan bersama wahyu dan ikatan syariah ini? Apakah semua manusia berhak?

Untungnya umat Islam sudah diberikan jawapan untuk menyelesaikan permasalahan ini dengan disabdakannya oleh baginda Rasulullah SAW sebuah hadis yang berbunyi 'al-'Ulama waratsah al-Ambiya' atau ulama adalah ahli waris Nabi.

Ulama tidak diwarisi harta kekayaan yang melimpah ruah oleh Nabi tapi mereka diwarisi ilmu yang luas melimpasi sempadan harta kekayaan. Ulama tidak diwarisi kemewahan harta benda tapi mereka diwarisi cahaya yang menyinari dunia.

Jika tugas Rasul seperti ditegaskan al-Quran maksudnya: "Samalah seperti Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul (Nabi Muhammad) yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu, dan mengajarkan al-Kitab dan al-Hikmah dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui," (Surah al-Baqarah: 151) maka ulama juga mempunyai tugas yang sedemikian pula seperti tugas menggunakan harta yang diwarisi.

Ulama tidak diwarisi harta kekayaan atau hak peribadi Nabi dan tidak juga sifat kenabian, wahyu dan keistimewaannya, tetapi yang jelas ialah tugas, tanggungjawab dan kepemimpinan mereka.

Allah berfirman maksudnya: "Dan di antara orang yang Kami ciptakan itu adalah satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran dan dengannya mereka menjalankan keadilan." (Surah al-A'raf: 181) Ayat ini dengan nyata menjelaskan ada lagi golongan yang akan meneruskan tugas, tanggungjawab, perjuangan dan kepemimpinan Rasul dan Nabi. Dan mereka adalah ulama yang diberi tugas pada hari ini untuk mengeluarkan fatwa selari dengan roh syariah. Jika fatwa itu dilaksanakan oleh umat maka umat taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sebaliknya, jika ia diabaikan oleh umat, maka umat mengabaikan Allah dan Rasul-Nya. La haula wala quwwata illa billah.

0 comments: